Sebelum kedatangan Islam di Melaka, masyarakat Melayu
mempercayai kepercayaan seperti animisme dan Hindu-Buddha yang diwarisi
daripada nenek moyang mereka. Kehidupan mereka penuh dengan unsur
kepercayaan tahyul dan karut seperti roh dan jiwa. Sebaliknya kedatangan
Islam telah menukar kepercayaan dan gaya hidup rakyat Melaka. Islam
merupakan sebuah agama yang sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat
dalam semua zaman. Islam adalah berteraskan aqidah, ibadah, syariah dan
akhlak yang memberikan kebahagian di dunia dan di akhirat. Ini
menyebabkan agama Islam mudah diterima dan difahami oleh seluruh
masyarakat Melaka. Dalam aspek sosial, Islam menegaskan bahawa tiada
perbezaan darjat dan orang yang bertaqwa sahaja yang mulia di sisi Allah
S.W.T. Islam memberi jaminan dan keadilan sosial kepada umatnya tanpa
membezakan antara yang kaya atau miskin. Malahan Islam sentiasa
menanamkan sifat-sifat Mahmudah (terpuji) dan mengelakkan sifat-sifat
Mazmumah (tercela). Sementara dari aspek ekonomi pula, Islam
mengharamkan umatnya menipu dan melakukan riba' sebaliknya Islam
mempunyai peraturan tertentu yang berlandaskan hukum Islam seperti
mu'amalat, zakat dan sebaginya. Dalam aspek politik, Islam menggalakkan
umatnya berlaku adil dan tidak mengambil rasuah ianya akan membawa
kepada kehancuran masyarakat dan negara. Keadaan ini menyebabkan Islam
mempunyai daya tarikan kuat kepada rakyat Melaka yang sebelum ini
dipengaruhi kefahaman Hindu yang kompleks dan rumit terutama sistem
kasta yang menyukarkan keadaan dalam mewujudkan perpaduan dan kerjasama
antara satu sama lain.
Di samping itu, perdagangan merupakan salah satu aspek penting dan
berkesan dalam proses mengembangkan dakwah Islamiyyah di Kesultanan
Melayu Melaka. Pedagang Arab, Parsi, India dan Melaka telah berdagang
sesama mereka sejak beberapa kurun sebelum Masihi hingga ke zaman
kedatangan Islam pada abad ke-7 dan ke-8 Masihi. Mereka telah berjaya
mengislamkan penduduk tempatan dengan mengadakan hubungan baik dengan
para pembesar tempatan dan saudagar-saudagar dari kerajaan lain seperti
Perlak, Pasai dan Aceh. Terdapat segelintir daripada pedagang-pedagang
tersebut menetap sementara untuk menyebarkan dakwah kepada rakyat
Melaka. Seterusnya, Islam mungkin tersebar di Zaman Kesultanan Melayu
Melaka sejak awal abad Hijrah lagi menurut T. W. Arnold. Kemungkinan ini
berdasarkan laporan pedagang-pedagang Arab yang telah berdagang dengan
Melaka dan China. Kedudukan strategik Melaka sebagai sebuah pelabuhan
maritim yang bertaraf antarabangsa telah menggalakkan pedagang Arab,
Parsi dan India berdagang di Melaka. Sementara menunggu perubahan angin
monsun, para pedagang dari Timur dan Barat menjadikan Melaka sebagai
pusat persinggahan. Pedagang-pedagang Arab secara tidak langsung
menyebarkan dakwah Islamiyyah melalui persinggahan ini. Sebahagian
mereka menjadi guru agama dan menjadikan surau dan masjid sebagai tempat
pengajian agama. Selain itu, pelabuhan Melaka menjadi tumpuan pedagang
dari Gujerat, Palembang, Jawa dan China kerana kemudahan perdagang yang
baik dan keselamatan yang terjamin. Ini menjadikan Melaka sebagai tempat
pertukaran barang-barang di mana ianya telah menarik perhatian
saudagar-saudagar Islam dari Arab dan India untuk berdagang ke Melaka.
Tambahan pula, kekaburan agama Hindu ialah salah satu sebab penyebaran
Islam ke Melaka. Agama Hindu merupakan satu fahaman yang amat kompleks
dan sukar difahami walaupun telah tersebar ke Melaka semenjan
berabad-abad. Ajaran Hindu juga lebih mentikberatkan soal dongeng
dan dewa-dewa yang hanya difahami oleh sami-sami mereka sahaja. Keadaan
ini telah menjejaskan kepercayaan penganut-penganut agama tersebut.
Sebaliknya agama Islam adalah salah satu agama yang mudah difahami dan
dapat diterima oleh semua golongan. Hanya dengan menerima konsep
ketuhanan yang esa dan Nabi Muhammad sebagai pesuruhNya, maka keislaman
seseorang itu telah diterima. Penganut-penganut agama Islam dijelaskan
dengan konsep Tuhan yang menjadikan seluruh alam, mempunyai kekuasaan
dan tidak menyerupai apa-apa benda sekalipun. Hal ini dengan mudah
menarik orang-orang Melayu menerima Islam. Jika diteliti dengan lebih
mendalam, golongan ulama' dan ahli
sufi juga memainkan peranan penting dalam perkembangan agama Islam ke
Melaka. Sifat mereka yang mudah bergaul dan beramah mesra dengan
pelbagai lapisan masyarakat telah menarik minat penduduk tempatan untuk
mempelajari Islam. Sehubungan dengan itu, suasana harmoni yang terjalin
di dalam perhubungan antara ulama' dengan golongan saudagar yang telah
memeluk Islam telah menjadikan mereka berpengaruh besar. Para ulama'
berperanan penting dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan seperti Perlak,
Samudera Pasai, Acheh, Melaka dan sebagainya. Contohnya, dalam kerajaan
Acheh, lahir ramai tokoh-tokoh ulama' yang berperanan penting dalam
menyebarkan Islam. Antaranya ialah Hamzah Fabsuri, Nuru al-Din
al-Raniri, Abdul al-Rauf Singkel dan Syams al-Din al-Sumatra. Mereka
telah hasilkan banyak karya-karya berbentuk keagamaan. Kerajaan-kerajaan
Islam seperti Perlak, Pasai, Melaka dan Acheh wujud pada abad ke-14, 15
dan 16. Penyebaran Islam menjadi semakin pesat oleh kerana wujudnya
kerajaan-kerajaan tersebut. Faktor penentangan kuasa Kristian seperti
Portugis telah membawa kepada perkembangan Islam di Melaka dengan lebih
pesat lagi.
Sehubungan dengan itu,
perkahwinan merupakan antara faktor tersebarnya Islam ke Melaka. Ramai
saudagar yang datang ke Melaka merupakan golongan kaya raya.
Sesetengahnya mempunyai hubungan yang rapat dengan pembesar-pembesar
tempatan. Dengan kekayaan yang ada, mereka berjaya mempengaruhi
wanita-wanita tempatan untuk dijadikan isteri. Malahan ada saudagar yang
dapat berkahwin dengan puteri-puteri dari kalangan anak pembesar
terutamanya di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Perhubungan keluarga
telah memudahkan para pedagang Islam berdakwah secara terus dengan kaum
kerabat mereka sendiri. Perkahwinan ini juga sekurang-kurangnya dapat
menarik minat pembesar-pembesar tempatan untuk menerima Islam. Biasanya
apabila pembesar-pembesar menerima Islam maka seterusnya akan diikuti
gologan bawahan ataupun rakyat secara beramai-ramai. Hasilnya
bertambahlah bilangan penduduk yang menganut agama Islam. Agama Islam
juga tersebar melalui perkahwinan antara raja dari Negara lain. Proses
ini biasanya dipanggil perkahwinan sahsiah. Langkah ini membantu
perkembangan Islam ke sesebuah negara. Umpamanya perkahwinan puteri
Pasai dengan Megat Iskanda Syah menyebabkan Islam tersebar dari Pasai ke
Melaka. Begitulah juga perkahwinan anak-anak raja Melaka dengan putera
puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah menyebabkan kedua-dua
menjadi negeri Islam kemudiannya.
Selaras
dengan itu, Sultan Melaka juga mempunyai peranan besar dalam
perkembangan Islam di Melaka. Baginda telah menyambut baik dan
menyediakan tempat tinggal kepada pendakwah di samping mengalakkan
penyebaran Islam. Contohnya, dengan mewujudkan institusi agama dan
menjadikan istana tempat menjalankan aktiviti Islam. Melaka mempunyai
ramai tentera upahan dari Jawa. Mereka memeluk Islam
semasa bertugas di Melaka dan menyebarkannya apabila pulang ke tempat
asal mereka. Kemudan, Melaka mempunyai tanah jajahan taklukan yang luas.
Oleh itu, kebanyakkan raja negeri taklukan Melaka memeluk Islam sebagai
tanda taat setia mereka kepada Melaka dan menjamin keselamatan negeri.
Kesusasteraan dan penulisan juga menjadi faktor penting tersebarnya
Islam di Melaka. Selepas kedatangan Islam, muncul tulisan jawi yang
berasal daripada abjad huruf Arab. Dengan adanya tulisan tersebut maka
bahasa Melayu berkembang dengan pesat sekali. Nahu dan perbendaharaan
bahasa Melayu dilengkapkan dengan pengaruh unsur-unsur nahu dan
kata-kata Arab hingga bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi sistem
pelajaran dan pendidikan di Melaka. Berbagai-bagai bentuk sastera Arab
seperti syair, sajak, nazam, dan sebagainya telah mempengaruhi bahasa
Melayu. Akhirnya, lahir ramai tokoh pengarang Islam dalam kalangan para
ulama yang gigih menghasilkan karya sastera yang berunsur Islam. Banyak
karya terjemahan tentang kisah-kisah Nabi Muhammad SAW dan sahabat
menarik minat dan perhatian penduduk Melaka. Contohnya, Hikayat Nabi
Bercukur, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Nabi
Mengajar Anaknya Fatimah, Hikayat Nur Muhammad.
Penyebaran Islam Di Asia Tenggara
Contoh Kitab dan Manuskrip Agama Islam Berbahasa Melayu
Duit Syiling Zaman Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka (1445 Masihi)