Sebelum kedatangan Islam di Melaka, masyarakat Melayu
mempercayai kepercayaan seperti animisme dan Hindu-Buddha yang diwarisi
daripada nenek moyang mereka. Kehidupan mereka penuh dengan unsur
kepercayaan tahyul dan karut seperti roh dan jiwa. Sebaliknya kedatangan
Islam telah menukar kepercayaan dan gaya hidup rakyat Melaka. Islam
merupakan sebuah agama yang sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat
dalam semua zaman. Islam adalah berteraskan aqidah, ibadah, syariah dan
akhlak yang memberikan kebahagian di dunia dan di akhirat. Ini
menyebabkan agama Islam mudah diterima dan difahami oleh seluruh
masyarakat Melaka. Dalam aspek sosial, Islam menegaskan bahawa tiada
perbezaan darjat dan orang yang bertaqwa sahaja yang mulia di sisi Allah
S.W.T. Islam memberi jaminan dan keadilan sosial kepada umatnya tanpa
membezakan antara yang kaya atau miskin. Malahan Islam sentiasa
menanamkan sifat-sifat Mahmudah (terpuji) dan mengelakkan sifat-sifat
Mazmumah (tercela). Sementara dari aspek ekonomi pula, Islam
mengharamkan umatnya menipu dan melakukan riba' sebaliknya Islam
mempunyai peraturan tertentu yang berlandaskan hukum Islam seperti
mu'amalat, zakat dan sebaginya. Dalam aspek politik, Islam menggalakkan
umatnya berlaku adil dan tidak mengambil rasuah ianya akan membawa
kepada kehancuran masyarakat dan negara. Keadaan ini menyebabkan Islam
mempunyai daya tarikan kuat kepada rakyat Melaka yang sebelum ini
dipengaruhi kefahaman Hindu yang kompleks dan rumit terutama sistem
kasta yang menyukarkan keadaan dalam mewujudkan perpaduan dan kerjasama
antara satu sama lain.
Tambahan pula, kekaburan agama Hindu ialah salah satu sebab penyebaran Islam ke Melaka. Agama Hindu merupakan satu fahaman yang amat kompleks dan sukar difahami walaupun telah tersebar ke Melaka semenjan berabad-abad. Ajaran Hindu juga lebih mentikberatkan soal dongeng dan dewa-dewa yang hanya difahami oleh sami-sami mereka sahaja. Keadaan ini telah menjejaskan kepercayaan penganut-penganut agama tersebut. Sebaliknya agama Islam adalah salah satu agama yang mudah difahami dan dapat diterima oleh semua golongan. Hanya dengan menerima konsep ketuhanan yang esa dan Nabi Muhammad sebagai pesuruhNya, maka keislaman seseorang itu telah diterima. Penganut-penganut agama Islam dijelaskan dengan konsep Tuhan yang menjadikan seluruh alam, mempunyai kekuasaan dan tidak menyerupai apa-apa benda sekalipun. Hal ini dengan mudah menarik orang-orang Melayu menerima Islam. Jika diteliti dengan lebih mendalam, golongan ulama' dan ahli sufi juga memainkan peranan penting dalam perkembangan agama Islam ke Melaka. Sifat mereka yang mudah bergaul dan beramah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat telah menarik minat penduduk tempatan untuk mempelajari Islam. Sehubungan dengan itu, suasana harmoni yang terjalin di dalam perhubungan antara ulama' dengan golongan saudagar yang telah memeluk Islam telah menjadikan mereka berpengaruh besar. Para ulama' berperanan penting dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan seperti Perlak, Samudera Pasai, Acheh, Melaka dan sebagainya. Contohnya, dalam kerajaan Acheh, lahir ramai tokoh-tokoh ulama' yang berperanan penting dalam menyebarkan Islam. Antaranya ialah Hamzah Fabsuri, Nuru al-Din al-Raniri, Abdul al-Rauf Singkel dan Syams al-Din al-Sumatra. Mereka telah hasilkan banyak karya-karya berbentuk keagamaan. Kerajaan-kerajaan Islam seperti Perlak, Pasai, Melaka dan Acheh wujud pada abad ke-14, 15 dan 16. Penyebaran Islam menjadi semakin pesat oleh kerana wujudnya kerajaan-kerajaan tersebut. Faktor penentangan kuasa Kristian seperti Portugis telah membawa kepada perkembangan Islam di Melaka dengan lebih pesat lagi.
Sehubungan dengan itu, perkahwinan merupakan antara faktor tersebarnya Islam ke Melaka. Ramai saudagar yang datang ke Melaka merupakan golongan kaya raya. Sesetengahnya mempunyai hubungan yang rapat dengan pembesar-pembesar tempatan. Dengan kekayaan yang ada, mereka berjaya mempengaruhi wanita-wanita tempatan untuk dijadikan isteri. Malahan ada saudagar yang dapat berkahwin dengan puteri-puteri dari kalangan anak pembesar terutamanya di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Perhubungan keluarga telah memudahkan para pedagang Islam berdakwah secara terus dengan kaum kerabat mereka sendiri. Perkahwinan ini juga sekurang-kurangnya dapat menarik minat pembesar-pembesar tempatan untuk menerima Islam. Biasanya apabila pembesar-pembesar menerima Islam maka seterusnya akan diikuti gologan bawahan ataupun rakyat secara beramai-ramai. Hasilnya bertambahlah bilangan penduduk yang menganut agama Islam. Agama Islam juga tersebar melalui perkahwinan antara raja dari Negara lain. Proses ini biasanya dipanggil perkahwinan sahsiah. Langkah ini membantu perkembangan Islam ke sesebuah negara. Umpamanya perkahwinan puteri Pasai dengan Megat Iskanda Syah menyebabkan Islam tersebar dari Pasai ke Melaka. Begitulah juga perkahwinan anak-anak raja Melaka dengan putera puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah menyebabkan kedua-dua menjadi negeri Islam kemudiannya.
Selaras dengan itu, Sultan Melaka juga mempunyai peranan besar dalam perkembangan Islam di Melaka. Baginda telah menyambut baik dan menyediakan tempat tinggal kepada pendakwah di samping mengalakkan penyebaran Islam. Contohnya, dengan mewujudkan institusi agama dan menjadikan istana tempat menjalankan aktiviti Islam. Melaka mempunyai ramai tentera upahan dari Jawa. Mereka memeluk Islam semasa bertugas di Melaka dan menyebarkannya apabila pulang ke tempat asal mereka. Kemudan, Melaka mempunyai tanah jajahan taklukan yang luas. Oleh itu, kebanyakkan raja negeri taklukan Melaka memeluk Islam sebagai tanda taat setia mereka kepada Melaka dan menjamin keselamatan negeri. Kesusasteraan dan penulisan juga menjadi faktor penting tersebarnya Islam di Melaka. Selepas kedatangan Islam, muncul tulisan jawi yang berasal daripada abjad huruf Arab. Dengan adanya tulisan tersebut maka bahasa Melayu berkembang dengan pesat sekali. Nahu dan perbendaharaan bahasa Melayu dilengkapkan dengan pengaruh unsur-unsur nahu dan kata-kata Arab hingga bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi sistem pelajaran dan pendidikan di Melaka. Berbagai-bagai bentuk sastera Arab seperti syair, sajak, nazam, dan sebagainya telah mempengaruhi bahasa Melayu. Akhirnya, lahir ramai tokoh pengarang Islam dalam kalangan para ulama yang gigih menghasilkan karya sastera yang berunsur Islam. Banyak karya terjemahan tentang kisah-kisah Nabi Muhammad SAW dan sahabat menarik minat dan perhatian penduduk Melaka. Contohnya, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Nabi Mengajar Anaknya Fatimah, Hikayat Nur Muhammad.
No comments:
Post a Comment